Pagi ni saya pergi melakukan aktiviti jalan pantas (brisk walk). Dalam lebih kurang sejam, dari pukul 7.45 pagi tadi, saya dapat berjalan lebih 6000 langkah. Pesan kawan saya dari jurusan dietetik, untuk dikira seorang yang aktif, kita perlu berjalan purata 10,000 langkah sehari. Lagi ~4000 langkah insyaAllah saya akan sambung pada waktu petang nanti. Berjalan sekitar bilik, ke tandas dan ke kafe untuk membeli makanan sahaja dah boleh litup hampir 500 langkah rasanya.
Termasuk hari ni, genap 2 minggu saya tak minum air manis (baca: bergula). Cuma air kosong dan susu. Brisk walk setiap hari ni pun termasuk inisiatif saya untuk membiasakan gaya hidup sihat. Cuma berjalan, tak penat dan tak perlukan banyak tenaga.
Dalam sehari kita sepatutnya duduk selama 10 jam sahaja secara total. 10 jam macam banyak, tapi ini termasuk duduk dalam kereta, menonton TV, menghadap komputer dan sudah tentu kebanyakan masa lain kita hanya duduk tanpa buat apa-apa. Duduk terlalu lama akan membawa banyak penyakit terutama yang berkait dengan sendi-sendi dan tulang belakang. Sekali-sekala setiap 30 minit duduk, cuba bangun dan renggangkan badan. Berjalan sekitar dalam rumah, kemudian kembalilah buat kerja di hadapan komputer.
Dalam situasi pandemik ni pula, lagilah kita akan bertambah selesa dengan rehat yang berlebihan. Makanan hari ni makin bergula dan tinggi kolesterol, gaya hidup kita pula makin pasif. Satu kombinasi yang tak seimbang. Bahkan membeli-belah yang sepatutnya membolehkan ±1000 langkah, hari ni hanya boleh dilakukan dengan hujung jari. Kurang pergerakan, kurang tenaga, tinggi risiko penyakit. Malang sekali.
Kesihatan adalah mahkota. Seorang raja yang mempunyai kekayaan seluas negeri pun tak akan bersukacita di waktu gering walau sekadar sakit tekak. Kalau dah sakit, tiada apa lagi yang kita harap selain sihat kembali. Duit berjuta-juta pun dibelanja seperti air yang mengalir. Tak kenal untung, tak kenal rugi. Yang penting sihat.
Fikir-fikirkan.